Seni budaya Melayu mampu tarik pelancong luar, kata Nancy

Nancy mencuba kebolehan memanah di Majlis Penutupan Karnival Mini Kebudayaan dan Seni Islam.

KUCHING, 11 Sept: Seni budaya Melayu Islam seperti memanah, tulisan khat serta pelbagai lagi yang lain boleh menjadi tarikan kepada pelancong luar.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri, mereka yang dianugerahkan kelebihan ini berpotensi untuk menjadikannya sebagai kerjaya sampingan yang turut boleh menguntungkan penduduk setempat.

Justeru katanya, kementerian menerusi Pusat Pelancongan Islam (ITC) diamanahkan untuk membangunkan ekosistem pelancongan Islam di negara ini.


“ITC turut menawarkan program latihan, pembangunan kapasiti serta khidmat nasihat seperti Kursus Latihan dan Bengkel Pemandu Pelancong Mesra Muslim.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pemandu pelancong mengenai pasaran pelancong Muslim dan bagaimana untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya di Majlis Penutupan Karnival Mini Kebudayaan dan Seni Islam di sini, malam ini.

Tambah Nancy, ITC juga mengadakan Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam yang bertujuan untuk menarik minat lebih ramai pengusaha perniagaan dan usahawan pelancongan untuk menerokai pasaran Pelancongan Mesra-Muslim.

Oleh yang demikian, beliau menggalakkan semua pihak berkaitan untuk terus memanfaatkan ITC untuk menjalinkan apa jua kerjasama yang boleh mendatangkan faedah kepada masyarakat terutamanya dari segi penjanaan pendapatan.

“Ini kerana, pasaran pelancong Islam mampu memberikan keuntungan yang tinggi dengan kecenderungan mereka untuk bercuti panjang dan berbelanja tinggi.

“Ambillah peluang atas populasi penduduk Islam sedunia yang berjumlah 2 bilion, di mana daripada jumlah itu, seramai 255 juta jumlah penduduk Islam di negara ASEAN,” ujar Nancy.

Menurut beliau, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, Malaysia menerima purata seramai 5.3 juta ketibaan pelancong Muslim.

Ia menyumbang dengan pendapatan pelancongan dianggarkan berjumlah USD$3.8 bilion dengan jumlah ketibaan pelancong Muslim tertinggi adalah dari Indonesia, Brunei, Bangladesh dan Arab Saudi. — DayakDaily