PH gesa kerajaan selesaikan masalah banjir di Long Bemang, Baram

Menurut PH Sarawak, penduduk Long Bemang di Baram menghadapi masalah banjir setiap kali hujan lebat.

KUCHING, 12 Sept: Pakatan Harapan (PH) Sarawak menggesa kerajaan serta pihak pembalak serta syarikat perladangan menyelesaikan masalah banjir di Long Bemang, Baram.

Ketua penerangannya Abun Sui Anyit berkata, kampung tersebut dilaporkan dilanda banjir tidak kurang daripada tujuh kali dalam tempoh setahun.

“Menurut kajian oleh pakar alam sekitar, banjir adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pembalakan dan perladangan.


“Akibatnya rakyat yang menanggung kesan apabila sungai menjadi cetek dan banjir melanda rumah-rumah panjang di sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, syarikat-syarikat dan kerajaan tidak boleh lepas tangan selepas mengaut keuntungan dan membiarkan penduduk rumah panjang mengalami musibah banjir setiap kali hujan lebat. — DayakDaily