Sekumpulan penghantar makanan Foodpanda beri penghormatan kepada Yuhanis

Kelihatan van jenayah membawa arwah Yuhanis bergerak ke tanah perkuburan dengan diiringi sekumpulan penghantar makanan. Tangkap skrin dari laman Facebook "Sarawak Edition".
Advertisement

KUCHING, 30 Mac: Sekumpulan penghantar makanan (‘rider’) Foodpanda memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang maut akibat kemalangan kendiri di Jalan Semariang semalam.

Menurut laporan dari Sarawak Edition dalam laman Facebook, kumpulan ini beramai-ramai mengiringi urusan pengkebumian Yuhanis Abdullah bermula dari Masjid Darul Ibadah Kampung Semariang Lama sehingga ke tanah perkuburan Semariang Petra Jaya.

Mangsa, 20 tahun, dari Kampung Semariang Pinggir semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri sekitar jam 11.35 pagi.

Advertisement

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Sultan Tengah menghala ke Bulatan Semariang telah hilang kawalan dan terbabas sendiri lalu melanggar tiang lampu.

Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans.

Arwah Yuhanis bekerja sebagai penghantar makanan bagi menyara ibu dan adiknya.

Ibu arwah mengalami masalah kesihatan sementara adiknya baru selesai menduduki peperiksaan SPM. — DayakDaily

Advertisement