Ibu dan anak terkorban dalam kemalangan di Serian

Gambar komposit menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.

SERIAN, 30 Mac: Seorang kerani bersama anak lelakinya terkorban dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuching-Serian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan iaitu Suzuki Swift dan sebuah pikap Isuzu.

Katanya, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 47 tahun yang bekerja di SMK Serian semasa kejadian bersama anaknya menaiki sebuah kereta dikatakan dari arah Serian menuju ke Kuching sekitar jam 6.30 petang.


“Apabila sampai di lokasi kemalangan, kereta (Suzuki Swift) yang dipandu mangsa telah hilang kawalan semasa melalui lorong bahagian kanan yang berselekoh.

“Kereta mangsa telah terbabas ke laluan bersebelahan lalu bertembung dengan pikap yang datang dari arah Kuching.

“Akibat dari kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit dan telah dikeluarkan oleh pihak Bomba yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Daerah Serian.

“Manakala kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Serian akibat kecederaan parah,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Simpok, Padawan itu kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Serian untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu dan dua lagi penumpang pikap yang turut mengalami kecederaan telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Kes kemalangan tersebut masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily