Sektor swasta dipelawa menyertai program lawatan belajar ke Indonesia

Abang Abdul Kari (tujuh dari kiri) bersama Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Tengku Azmi Tengku Majid (lapan dari kiri) dan kakitangan MPC Wilayah Sarawak di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MPC Wilayah Sarawak 2018 di Dewan Produktiviti, MPC Sarawak, Jalan Bako, Demak Laut.

KUCHING, Julai 3: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak mempelawa sektor swasta di negeri ini menyertai program Lawatan Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan Ke Indonesia yang akan dianjurkannya selama tujuh hari dari Ogos 6 hingga 12 depan.

Ahli Lembaga Pengarah MPC, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata pihak swasta negeri ini yang menyertai program itu berpeluang melihat sendiri amalan perniagaan terbaik pihak swasta di Indonesia yang diramalkan akan menjadi negara kuasa ekonomi kelima terbesar di dunia menjelang 2025.

“Siapa yang menyertai lawatan ini akan berpeluang bergaul dan mengetahui amalan perniagaan terbaik kalangan pihak swasta di wilayah Indonesia. Saya juga ada terbaca satu rencana yang telah meramalkan Indonesia dari segi saiz ekonominya akan menjadi yang kelima terbesar di dunia menjelang 2025,” katanya ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MPC Wilayah Sarawak 2018 di Dewan Produktiviti, MPC Sarawak, Jalan Bako, Demak Laut, di sini, hari ini.


Abang Abdul Karim sehubungan itu menjangkakan selepas ini akan berlaku pembangunan pesat di Indonesia dan yakin negara terbabit juga ketika ini sedang giat menambahbaik amalan mereka menjalankan perniagaan disamping memanfaatkan sumber yang banyak dimilikinya bagi menjadi salah satu kuasa ekonomi dunia.

“Tidak seperti China, Indonesia bukan sahaja mempunyai pasaran domestik yang luas tetapi juga masih banyak memiliki sumber (semulajadi),” katanya. Selain Indonesia dan China beliau juga berkata menjangkakan India bakal menjadi negara kuasa ekonomi terbesar dunia.

Beliau mendedahkan program lain MPC Wilayah Sarawak sepanjang Ogos depan ialah Konvensyen Kecemerlangan Pasukan Wilayah Sarawak/ Sarawak dari Ogos 1 hingga 2 depan, manakala pada Julai ini ialah Bengkel Mengenai Pemetaan Aliran Bagi Kecemerlangan Perniagaan (Julai 24 hingga 25), Lawatan Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan Ke Johor (Julai 23 hingga 27).

Ini diikuti dengan Bengkel Penyertaan Pekerja Bagi Kecemerlangan Perniagaan (Julai 18), Lawatan Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan Ke Pulau Pinang (Julai 16-20), Bengkel Perhubungan Pelanggan Pengurusan (Julai 11) dan Bengkel Pengurusan Risiko bagi Kecemerlangan Perniagaan (Julai 5). — DayakDaily