408 akaun babitkan dana RM1.1 bilion dibekukan

Malaysian Anti-Corruption Commission logo

KUCHING, Julai 2: Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jun 26 dan 29 lalu.

Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

Kata SPRM, akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB.


“Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit,” kata SPRM dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu kata SPRM, Pasukan Petugas Khas 1MDB berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama dengan pihaknya.

Tambah SPRM, Pasukan Petugas Khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.

“Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan.

“Oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak,” kata SPRM lagi. — DayakDaily