Sarawak diberi pertimbangan serius untuk terima bekalan vaksin segera

Jumlah vaksin yang perlu disuntik di Sarawak adalah 2.3 juta orang dengan kerajaan negeri turut membantu di dalam mendapatkan bekalan vaksin.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 April: Sarawak diberi pertimbangan serius oleh kerajaan pusat untuk menerima bekalan vaksin Covid-19 dalam kadar segera.

Jaminan ini diberi Menteri Kesihatan Dato Sri Dr Adham Baba setelah jumlah kes di negeri ini meningkat sejak Januari lepas dengan kadar kadar nilai kebolehjangkitan (RT) di Sarawak kini mencecah 1.1


“Untuk Sarawak, kita telah pun memberi jaminan bahawa, oleh kerana kadar RT 1.1 kawasan ini perlu diberi pertimbangan serius untuk kita lindungi,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau yakin Sarawak mampu memberi vaksinasi sehingga 40,000 sehari sekiranya bekalan vaksin mencukupi tiba.

Katanya, Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan merupakan sebuah pusat yang sangat besar dan ia menggambarkan komitmen tinggi kerajaan negeri untuk menangani wabak Covid-19.

“Sebelum ini kita hanya mengggunakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tetapi Sarawak telah mula melaksanakannya di sebuah pusat yang sangat besar.

“Ini perkembangan yang sangat sihat dan menunjukan bahawa kita dapat menangani wabak Covid-19 dengan baik dan persediaan kita lengkap serta mampu memberi vaksinasi sehingga 40,000 sehari di negeri ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata bahawa jumlah yang perlu disuntik di Sarawak adalah 2.3 juta orang dengan kerajaan negeri turut membantu di dalam mendapatkan bekalan vaksin.

Beliau juga berkata bahawa jawatankuasa khas jaminan akses vaksin telah memutuskan pihak media yang juga petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin pada fasa kedua yang bermula pada 19 April ini. — DayakDaily