SEKAT gesa KPM bentang segera halatuju pembelajaran Jawi-Khat

Arun(duduk tiga dari kiri) pada mesyuarat bersama wakil-wakil NGO yang lain di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 JULAI: Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) gesa
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beri penjelasan segera berhubung halatuju pengenalan pembelajaran Jawi-Khat di sekolah-sekolah rendah.

Menurut Setiausahanya Arun Doraisamy, pengenalan pembelajaran tersebut juga dilaksanakan di Sekolah Bahasa Ibunda Tamil dan Cina.


Justeru katanya, SEKAT pada 1 Julai lepas telah menghantar satu
memorandum kepada Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin agar satu sesi libat urus berhubung isu tersebut diadakan.

“SEKAT ingin mengajak menteri dan KPM bersama bahagian pembangunan kurikulum untuk membentangkan apakah halatuju mereka yang sebenar dalam pengenalan pengajaran dan pembelajaran Jawi-Khat.

“Kami amat kecewa dengan kepimpinan KPM sebelum ini yang tidak
menghiraukan suara kami dan terus melaksanakan dasar ini tanpa proses libat urus yang secukupnya atau memberi justifikasi yang rasional,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Arun, penjelasan berhubung halatuju pembelajaran Jawi Khat perlu kerana masih ramai yang tidak faham dengan pelan pembelajaran Bahasa Melayu 2016-2025.

“Ini bukan isu sensitif, kami bukan anti-Melayu, bukan anti-Islam.

“Ini adalah satu isu sukatan pelajaran yang harus sejajar dengan
aspirasi falsafah pendidikan negara bersesuaian dengan kehendak
semasa,” ujar beliau.

Terdahulu Arun menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan(NGO) membincangkan isu Jawi-Khat dan isu-isu berkaitan.—DayakDaily