Sejumlah 91,640 pengguna berdaftar Sarawak Pay setakat 30 Jun

Len Talif (tengah) menekan butang sebagai simbolik perasmian Karnival NTFP 2019. Turut kelihatan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Hamden Mohammad (kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Ogos: Seramai 91,640 pengguna telah mendaftar menggunakan aplikasi Sarawak Pay setakat 30 Jun tahun ini semenjak  diperkenalkan pada November 2017.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jumlah tersebut bakal menjana urus niaga bernilai RM35 juta.


“Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memacu Sarawak ke era digital.

“Ini termasuk Sarawak ID, Sarawak Pay, kemudahan e-dagang dan 20 perkhidmatan kerajaan yang boleh diperolehi secara talian,” kata Abang Johari di perasmian Karnival Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan Abang Johari dibaca Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Tambah beliau, Sarawak mensasarkan sejumlah 150,000 pengguna berdaftar Sarawak Pay di penghujung tahun ini

Mengulas isu berkaitan, Abang Johari berkata pengguna berdaftar Sarawak ID telah mendapat manfaat dari perkhidmatan fleksibel dan mudah yang disediakan kerajaan.

Menurut beliau, setakat 1 Julai, 2019, sejumlah 208,644 pengguna telah mendaftar menggunakan Sarawak ID.

Len Talif, ketika ditemui pemberita, berkata Sarawak perlu mengadakan kerjasama dengan agensi luar negeri untuk membangunkan NTFP.

Katanya, walaupun penyelidikan dan pembangunan NTFP sedang giat dijalankan, kepakaran asing tetap diperlukan untuk memastikan NTFP mampu bersaing di pasaran luar.

“Kalau kita kaji dari sudut penanaman semula sumber-sumber ini dan pengeluaran produk, kita harus berkerjasama dengan agensi luar.

“Kita boleh berkerjasama dengan agensi dari negara China, Jepun, Australia dan Amerika,termasuk agensi di Semenanjung Malaysia,” katanya. — DayakDaily