Sejumlah 116 operasi mendaftar kelahiran dijalankan di Miri, Kapit sejak Okt 2015

Datuk Francis Harden Hollis

KUCHING, Nov 7: Pasukan petugas khas bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak setakat ini melaksanakan sehingga 71 operasi di kawasan pedalaman Miri dan 45 operasi di kawasan pedalaman Kapit bagi mendaftaran kelahiran penduduk negeri ini.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata operasi tersebut telah mula dilaksanakan pasukan terbabit sejak Oktober 2015 sehingga Oktober 22 tahun ini.

“Pasukan bertugas khas terbabit telah melaksanakan sebanyak 71 operasi pendaftaran bergerak ke kawasan pedalaman Miri merangkumi Dewan Undangan Negara (DUN) Marudi, DUN Telang Usan dan DUN Mulu,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau di Persidangan DUN Sarawak di DUN, Petra Jaya di sini, semalam.


Francis berkata hasil operasi di pedalaman Miri tersebut, pasukan itu telah menerima sebanyak 1,398 permohonan pendaftaran lewat kelahiran dan daripada jumlah itu sebanyak 898 permohonan telah diluluskan, sebanyak 365 permohonan telah ditolak sementara 135 permohonan lagi masih dalam proses semakan.

“Manakala sebanyak 46 operasi telah dibuat di pedalaman Kapit merangkumi kawasan DUN Belaga dan Murum, dan hasilnya sebanyak 960 permohonan telah diterima, 662 permohonan telah diluluskan dan 266 permohonan telah ditolak sementara 32 permohonan masih dalam proses semakan,” katanya.

Beliau menjelaskan sebanyak empat sebab utama permohonan terbabit telah ditolak jawatankuasa teknikal pasukan petugas khas bergerak terbabit iaitu kelahiran tidak berlaku di negeri ini; tiada perakuan dari penghulu, tuai rumah atau ketua kampung; ibubapa yang tercatat dalam borang permohonan didapati bukan ibubapa kandung; dan penghulu, tuai rumah, ketua kampung tidak mengenali pemohon dan tidak mengetahui maklumat keluarganya. — DayakDaily