Bekalan elektrik lima premis menjual loteri haram dipotong

Pemotongan bekalan elektrik dibuat ke atas premis yang terbabit menjual loteri haram dengan kerjasama polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama kakitangan dari Syarikat Sesco Bhd.

KUCHING, Nov 7: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan Syarikat Sesco Bhd telah mengadakan operasi memotong bekalan elektrik ke atas lima premis yang menjadi tempat menjual loteri haram sekitar Padawan semalam.

Lima premis tersebut beralamat di Kuching Sentral di Pekan Batu 7; Jalan Tapang, Kota Sentosa Commercial Centre; KNDL Maong Bazaar; KNLD Jalan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan; dan Batu 4, Jalan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa mengesahkan operasi terbabit dilaksanakan dibawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan melibatkan seramai empat anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama dua kakitangan syarikat Sesco Bhd yang bermula jam 11.30 pagi sehingga jam 4 petang.


“Operasi sebegini akan diteruskan secara berterusan dengan tujuan untuk menghapuskan kegiatan perjudian yang menyalahi undang undang,” katanya.

Beliau sehubungan itu menyeru kerjasama masyarakat atau individu untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perjudian haram jika terkesan di kawasan Padawan kepada pihaknya. — DayakDaily