Segera luluskan pembaharuan lesen ejen Sarawak MM2H – Abdul Karim


ASAJAYA, 20 April: Sarawak memohon agar Kerajaan Pusat segera beri kelulusan bagi pembaharuan lesen ejen kepada program Sarawak Malaysia My Second Home (MM2H).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lesen kepada syarikat-syarikat ini sudah tidak diperbaharui sejak penghujung 2023.

Katanya, ia memberi impak tidak baik kepada negara, masalah kepada syarikat ataupun ejen selain mencacatkan pelaksanaan Sarawak MM2H.


“Lesen bagi ejen (syarikat) yang mengendalikan program Sarawak MM2H dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC).

“Sejak penghujung 2023, MOTAC tidak memperbaharui lesen tersebut atas sebab ada perubahan dasar.

“Saya telah membuat rayuan kepada Kementerian Pelancongan agar Sarawak dikecualikan,” katanya ketika ditemui di Ramah Tamah Aidilfitri Asajaya 2024 hari ini.

Tambah Abdul Karim, dasar yang digunapakai dalam pelaksanaan MM2H sekarang mewujudkan satu suasana tidak selesa.

Ujar beliau, disebabkan dasar tersebut lesen beberapa syarikat yang mengendalikan program Sarawak MM2H tidak diperbaharui.

“Apabila sudah tamat tempoh mereka tidak boleh menerima permohonan dari pihak yang berminat dari seluruh dunia untuk menjadikan Sarawak sebagai rumah kedua.

“Sekarang sudah nak masuk bulan Mei, dan tiada kemajuan, ada pemohon yang telah membayar deposit tetapi tidak dapat diproses sebab lesen ejen tidak diperbaharui,” kata Abdul Karim.

Jelas beliau lagi, di Sarawak sejumlah 400 pemohon masih menunggu kelulusan menyertai Sarawak MM2H dan ia tergendala disebabkan lesen tamat tempoh.

“Setiap bulan kita menerima lebih kurang 100 permohonan dan ada 300 hingga 400 lagi belum diluluskan.

“Jumlah sudah diluluskan lebih daripada 2,000,” kata Abdul Karim. — DayakDaily