Sebar berita palsu, ‘Jenifer Lawrence’ kini diburu polis

Posting 'Jenifer Lawrence' sebelum ia dipadamkan semalam.

KUCHING, 16 Jan: Pemilik akaun facebook ‘Jenifer Lawrence’ dikehendaki polis kerana didakwa menyebarkan berita palsu berkenaan situasi Covid-19 di Sarawak.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan yang mendedahkan bahawa satu laporan diterima daripada pegawai Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri terhadap akaun FB berkenaan semalam.

Beliau memberitahu, pemilik akaun FB tersebut dikatakan memuatnaik kenyataan mengatakan kes positif Covid-19 di Sarawak mencecah 321 kes semalam.


“Maklumat tersebut menimbulkan kegelisahan dan panik di kalangan orang awam dan pengadu kemudian terus membuat laporan polis untuk siasatan polis dan rujukan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, pemilik FB terbabit telah memadam posting tersebut petang semalam namun sempat ditangkap skrin oleh pengadu.

“Selain itu, pengadu turut melaporkan pemilik akaun FB berkenaan sering membuat hantaran isu-isu berkenaan Covid-19 di Sarawak.

“Hantaran tersebut dilakukan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin secara rawak,” kata Aidil.

Operasi mengesan pemilik akaun media tersebut sedang giat dijalankan dan sebarang maklumat berhubungnya boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran. ā€” DayakDaily