JPJ: Lakukan transaksi berkaitan kenderaan persendirian secara atas talian

JPJ logo

KUCHING, 16 Jan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa orang ramai untuk membuat transaksi berkaitan kenderaan persendirian secara atas talian.

Menerusi satu kenyataan semalam, JPJ berkata urusan pembaharuan Lesen Memandu (LLM) dan pembaharuan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) boleh dibuat melalui portal JPJ mahupun rakan niaga/MyEg.

“Manakala, sebarang transaksi di kaunter hanya menumpukan kepada urusan-urusan yang berkaitan dengan kenderaan perdagangan sahaja.


“Inisiatif ini dibuat untuk memastikan agar semua sektor perkhidmatan perlu negara akan dapat diteruskan dan berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Pendekatan diambil selaras dengan pengumuman pihak Kerajaan mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

JPJ juga memaklumkan bahawa kaunter hanya dibuka kepada mana-mana transaksi berkaitan kenderaan persendirian yang tidak dapat dilaksanakan secara atas talian sahaja serta atas dasar terdesak.

“Selain daripada itu, pengecualian ini hanya diberikan kepada mana-mana orang awam atau pelanggan Jabatan selepas mereka disaring terlebih dahulu oleh pegawai Jabatan di pintu-pintu masuk premis JPJ,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPJ amat kesal dengan insiden penularan satu video berdurasi 6:44 minit di media sosial baru-baru ini.

Video memaparkan seorang individu yang tidak berpuas hati ekoran daripada keputusan yang dibuat oleh Jabatan untuk tidak membuka kaunter bagi tujuan menjalankan urusan berkaitan kenderaan persendirian. — DayakDaily