Dua ditahan berhubung kematian seorang OKU

Suspek ditahan untuk membantu siasatan.

KUCHING, 27 Ogos: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dalam satu kejadian di Kampung Jawa dekat Semenggoh, Batu 12 Jalan Kuching-Serian, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata mangsa berusia 26 tahun itu merupakan pemegang kad OKU kerana menghidap penyakit bipolar.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4.30 petang apabila mangsa dikatakan tiba-tiba bertindak agresif dan cuba ditenangkan oleh suspek yang merupakan seorang anggota polis dan tukang kasut.

Kedua-dua suspek yang merupakan jiran mangsa kemudian membawa mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri balik ke rumah keluarganya.

Mangsa kemudian terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang.

Kedua-dua suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Batu 10 lewat malam tadi dan kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan oleh pihak hospital sebaik sahaja keputusan saringan Covid-19 diperolehi bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — DayakDaily