Sarawak tuntut segera RM350 juta dikembali untuk baiki sekolah daif

Abang Johari (kiri) berucap di Sesi Town Hall Berambeh Ngan Abang Johari.

Oleh Chris Bishop

LUNDU, OGOS 25: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesa kerajaan persekutuan memulakan kerja membaiki sekolah daif di negeri ini dengan segera.

Katanya, Sarawak telah membayar RM350 juta seperti yang dikehendaki Kementerian Kewangan pada bulan lepas.


“Pada bulan lepas saya bayar RM350 juta kerana perkara persekolahan dan anak-anak kita.

“Tetapi sampai sekarang, kerja baik pulih sekolah daif di Sarawak belum dilaksanakan.

“Bila ditanya kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, jawapannya perlu tubuh jawatankuasa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Berambeh Ngan Abang Johari di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini.

Kerajaan Sarawak menjelaskan RM350 juta daripada RM1 bilion hutangnya kepada kerajaan persekutuan, untuk digunakan semula bagi proses membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

Abang Johari (empat dari kanan, baju kelabu) merakamkan kenangan bersama sebahagian peserta Sesi Town Hall Berambeh Ngan Abang Johari di Dewan Masyarakat Lundu.

Sejumlah 1,020 sekolah di seluruh Sarawak berada di dalam kategori daif dengan 415 buah daripada jumlah tersebut dalam kategori sangat daif.

Tambah Abang Johari, Sarawak berhutang dengan kerajaan persekutuan kerana pinjaman adalah hak negeri di dalam perlembagaan.

“Kerajaan persekutuan mesti memberi geran dan pinjaman kepada negeri dalam persekutuan, di dalam undang-undang,” katanya.

Pinjaman tersebut, menurut beliau, sentiasa dibayar tepat pada masanya setiap bulan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Turut hadir di program tersebut Ahli Parlimen (MP) Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, MP Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. — DayakDaily