Sarawak terus utamakan TVET, perkasa STEM

Francis (tiga kanan) merasmikan Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

KUCHING, 8 Mac: Sarawak terus memberi fokus kepada kepentingan Pendidikan Dan Latihan Teknikel Dan Vokasional (TVET), kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi menyediakan kepakaran yang secukupnya untuk menjayakan inisiatif pembangunan negeri kata Abang Johari, Sarawak juga memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM).

“Dalam hal ini pada tahun 2017, Sarawak telah melaksanakan transformasi digital yang dikenali sebagai ekonomi digital.

“Ekonomi digital telah membuka dimensi baharu dalam pembangunan dan kemajuan Sarawak, ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di bandar dan luar bandar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bermula 8 hingga 9 Mac ini di Kuching hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis.

Sementara itu tambah Abang Johari, Sarawak pada 2021 juga telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Katanya, PCDS 2030 menekankan kepentingan digitalisasi dan automasi bagi membawa Sarawak mencapai negeri maju pada 2030.

“Strategi ini mengutamakan enam sektor ekonomi sebagai enjin pembangunan iaitu pengeluaran kilang, pertanian secara komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial.

“Enam sektor ini di sokong oleh tujuh inisiatif iaitu transformasi digital, inovasi, kemudahan asas, pengangkutan, utiliti, tenaga diperbaharui, pendidikan dan pembangunan modal manusia,” ujarnya.

Seramai 450 delegasi dari Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia menghadiri persidangan selama dua hari.

Manakala seramai 24 penceramah dari Malaysia dan luar negara akan berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing. — DayakDaily