Sarawak rekod peningkatan rampasan dadah pada Januari 2020

Fatimah (dua dari kanan) bersama pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja OSC MIDS negeri ketika menyaksikan bagaimana Instrumen Taktikal Pengesanan Dadah digunakan.

KUCHING, 17 Feb: Jumlah rampasan kes dadah di Sarawak menunjukan peningkatan pada bulan Januari lepas berbanding Disember 2020 dengan sebanyak 20.68 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjaya dirampas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.92 peratus berbanding rampasan yang dilakukan pada bulan Disember lepas iaitu sebanyak 18.65kg.

Katanya, peningkatan rampasan itu susulan operasi berterusan pihak berkuasa iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


“Sepanjang bulan Januari lalu, rampasan dadah jenis Syabu atau Methamphetamine yang tertinggi dengan 13.9kg dikuti dadah jenis ganja (4.8kg) dan ketamin (1.8kg),” katanya pada sidang media laporan Bulanan One Stop Commitee (OSC) bagi menangani Isu Dadah dan ‘Substance’ di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang bulan lalu, sebanyak 984 operasi dilaksanakan di seluruh Sarawak oleh pelbagai agensi penguatkuasaan narkotik dalam membenteras masalah penyalahgunaan dadah dan ‘substance’ di negeri ini.

Katanya, 712 kes direkodkan melibatkan 780 tangkapan berkaitan penguatkuasaan aktiviti penyalahgunaan dadah daripada keseluruhan operasi yang dilakukan pada bulan lepas.

“Impak daripada rampasan hasil 984 operasi tersebut pada bulan lalu, Sarawak mampu menyekat sebanyak 207,433 kali penggunaan dadah dan ‘substance’ telarang sekaligus menyelamatkan kira-kira 51,786 individu bagi tempoh sebulan di negeri ini,” katanya.

Fatimah berkata, hasil daripada pemetaan berdasarkan tahap risiko bagi isu dadah dan ‘substance’ mendapati sembilan daerah berisiko tinggi terdedah kepada isu terbabit pada tahun lalu (2020).

Bagaimanapun jumlah daerah yang diletakkan dalam zon tersebut merekodkan penurunan berbading 15 daerah pada tahun 2019.

“Dearah yang berisiko sederhana menunjukkan peningkatan sebanyak lima daerah berbanding 15 daerah pada 2019 kepada 20 daerah pada tahun lalu.

“Manakala, 11 daerah diletakkan di bawah risiko rendah, peningkatan dua daerah berbanding 2019 (9 daerah) sekaligus menjadikan tiada daerah di Sarawak yang bebas risiko dadah pada tahun 2020,” katanya. — DayakDaily