Fatimah: Jangkitan Covid-19 di 2 pusat jagaan warga emas di Sibu berpunca dari luar

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 17 Feb: Pengesanan yang dilaksanakan mendapati kebanyakan jangkitan Covid-19 di dua pusat jagaan warga emas di Sibu merupakan dari kakitangan yang didapati positif semasa di luar institusi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata setakat 15 Februari, dua buah pusat jagaan warga emas tersebut mencatatkan seramai 33 orang penghuni telah positif dijangkiti Covid-19.

Kataya, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan pengesanan sama ada jangkitan ini berkait dengan kluster yang sedang dan masih aktif pada masa ini iaitu Kluster Pasai.


“Pusat jagaan ini telah ditutup serta merta untuk proses sanitasi dan nyahkuman oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Bahagian pentadbiran pusat jagaan mengambil tindakan mengetatkan lagi pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) di pusat jagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain penghuni, tambah Fatimah, 15 petugas dari kedua-dua pusat tersebut turut didapati positif Covid-19.

Jelas beliau, pada masa ini kesemua penghuni dan petugas yang positif sedang dirawat di hospital manakala petugas dan penghuni yang negatif dikehendaki untuk berada di asrama dan tidak dibenarkan balik ke rumah untuk tujuan mengawal penularan.

“Kronologi jangkitan Covid-19 di premis pertama adalah apabila terdapat seorang penghuni yang baru balik dari rumah keluarganya pada 9 Februari 2021 dan didapati mengalami sesak nafas.

“Pengendali telah menghantar penghuni berkenaan ke Hospital Sibu dan hasil pemeriksaan mendapati penghuni tersebut positif jangkitan Covid-19.

“Pengendali telah memohon agar pemeriksaan swab dijalankan di premis untuk mengenalpasti penghuni dan petugas lain yang mendapat jangkitan berkenaan.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah hadir pada 13 Februari 2021 untuk membuat pemeriksaan dan mendapati ramai penghuni dan petugas yang turut dijangkiti,” ujar Fatimah.

Manakala bagi pusat jagaan kedua pula, beliau berkata pemeriksaan rawak ke atas semua penghuni dan petugas pusat jagaan yang dijalankan pada 13 Februari 2021 daripada Klinik Kesihatan Lanang telah mendapati seramai 10 orang penghuni dan petugas positif.

“Menurut penyelia pusat jagaan, kebarangkalian jangkitan adalah daripada petugas yang tinggal di Rumah Panjang Salim.

“Ini kerana kesemua penghuni adalah tidak dibenarkan keluar daripada premis atau menerima lawatan daripada luar,” katanya lagi. — DayakDaily