Sarawak rekod 415 kes dengan 463 tangkapan berkaitan dadah bagi tempoh Ogos 2021

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 15 Sept: Sarawak merekodkan sebanyak 415 kes yang melibatkan 463 tangkapan berkaitan penguatkuasaan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah dan ‘substance’ bagi tempoh bulan Ogos 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia hasil daripada 363 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Sebanyak 37 kes yang melibatkan 57 tangkapan adalah kesalahan membekal dan mengedar dadah dan ‘substance’.


“Daripada jumlah tersebut, sembilan kes melibatkan lapan tangkapan adalah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih 15 kali.

“Bilangan tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 33.33 peratus berbanding dengan Julai 2021 (12 tangkapan).

“Manakala, jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari 2021 di bawah Seksyen 39B adalah sebanyak 109 tangkapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fatimah yang juga Pengerusi One-Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu dadah dan ‘Substance’ (MIDS) Sarawak berkata, sebanyak 89 kes yang melibatkan 119 tangkapan pula adalah kesalahan memiliki dadah dan ‘substance’.

Katanya, bilangan tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 23.71 peratus berbanding dengan Julai 2021 (156 tangkapan).

“Jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari 2021 bagi tangkapan kes memiliki adalah sebanyak 1,219 tangkapan,” ujar Fatimah.
— DayakDaily