Program Mekar pastikan pendaftaran dokumen pengenalan diri mudah, kata Hamzah

Dato Sri Hamzah Zainuddin

KUCHING, 15 Sept: Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) adalah inisiatif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman.

Menteri Dalam Negeri Dato Sri Hamzah Zainuddin berkata, program tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian.

Katanya, ia juga memberikan taklimat berkaitan kepentingan dokumen pengenalan diri.


“Antara inisiatif tambahan yang sering dilaksanakan oleh kementerian ini adalah pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti OP Patuh untuk mengawal dan menilai pematuhan masyarakat terhadap SOP (prosedur operasi ‘standard’) Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni berhubung isu individu tanpa dokumen pengenalan diri pada sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Semasa pemeriksaan Op Patuh, tambah Hamzah, kementeriannya sentiasa menasihatkan semua pihak terutamanya majikan untuk memastikan setiap pekerja yang digajikan adalah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa.

Ujar beliau, majikan dinasihatkan supaya meregularisasikan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19.

“Ini adalah bertepatan dengan garis panduan SOP Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (Pick-Pati) yang diluluskan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di Sarawak dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak. — DayakDaily