KUCHING, 11 Mac: Presiden Persekutuan Tinju Malaysia Datuk Mohd Iruan Zulkefli yakin Sarawak mampu melahirkan bintang dalam sukan tinju.
Menurut beliau, Sarawak memiliki ramai peninju muda dan berbakat dibandingkan dengan negeri lain.
“Sukan individu seperti tinju adalah mudah untuk membimbing dan membentuk bakat.
“Di Sarawak ada 12 pusat latihan tinju,” katanya di Majlis Penangguhan Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 di Dataran Kubah Ria malam ini.
Selain itu tambah Iruan, sukan tinju ada masa depan yang cerah dengan ramai peninju muda menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung mulai 6 hingga 11 Mac.
“Dari Sarawak, dari Sabah dan juga dari Semenanjung semuanya berbakat dan kita mahu mereka bertanding di peringkat antarabangsa.
“Sukan tinju tersenarai dalam Sukan Olimpik oleh itu kita mahu anak-anak berumur 13 hingga 19 tahun ini ada cita cita untuk mengharumkan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 disertai lebih 90 peninju yang bertanding dalam kategori remaja dan bakat. — DayakDaily