Lelaki mati dipercayai dibunuh, suspek naiki Perodua Bezza ‘silver’ diburu

PDRM logo

LUNDU, 11 Mac: Seorang pekerja di sebuah ladang sawit di sini ditemui mati dipercayai terlibat dengan pergaduhan malam tadi.

Mangsa berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Senibong Sejirin, di Lundu.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata dilaporkan rebah di hadapan pagar pondok pengawal ladang tersebut.


Beliau memberitahu, saksi mengatakan mangsa datang ke pondok pengawal pada jam 9.20 malam dan memberitahu mahu berjumpa adiknya di hadapan pagar pondok pengawal.

“Lebih kurang 10 minit menunggu, datang sebuah Perodua Bezza berwarna silver menghampiri pondok pengawal dan mangsa kemudian terus bergerak ke arah kereta tersebut.

“Lebih kurang lima minit kemudian, saksi nampak mangsa berlari ke arah pondok pengawal dan dikejar suspek.

“Sampai di hadapan pagar tersebut, mangsa dikatakan rebah tertiarap di atas jalan dan suspek terus melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengawal keselamatan yang bertugas kemudian menghubungi majikannya dan kemudian terus melaporkan kepada pihak polis sekitar jam 10.10 malam.

“Siasatan awal dipercayai mangsa telah bergaduh dan dipukul dengan objek tumpul,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk proses bedah siasat punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek kes tidak dikenali dan menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna Silver,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil membantu siasatan. — DayakDaily