Sarawak kukuhkan Sistem Pawah Ternakan Ruminan dengan peruntukan RM 40 juta

Abdul Rahman (tengah) hadir di Majlis Pertukaran Surat Hasrat Kolaborasi Antara Fakulti Perubatan Veterinar UPM dan Jabatan Veterinar Sarawak. Turut kelihatan Adrian (dua dari kiri) dan Abdul Rahman Omar (dua dari kanan).

KUCHING, 20 Sept: Sarawak mengukuhkan Sistem Pawah Ternakan Ruminan seperti lembu, kerbau, kambing dan bebiri dengan peruntukan sebanyak RM40 juta dalam RMKe-12.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia bagi memastikan kadar saradiri industri tersebut meningkat 25 peratus menjelang 2030.

“Terdapat beberapa sektor ternakan yang perlu diberi perhatian kerana Sarawak masih mengimport sumber makanan bagi menampung permintaan.


“Antaranya ialah Sektor Ruminan di mana kadar saradiri bagi daging lembu atau kerbau ialah 12 peratus dan kambing dan bebiri ialah 5.5 peratus.

“Adalah disasarkan bahawa komoditi tersebut meningkat kepada 25 peratus kadar saradiri menjelang tahun 2030 dan 50 peratus pada tahun 2050.

“Sarawak mengimport sebanyak RM100 juta setahun bagi produk sejuk beku seperti daging lembu atau kerbau dan kambing atau bebiri,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian di Majlis Pertukaran Surat Hasrat Kolaborasi Antara Fakulti Perubatan Veterinar UPM dan Jabatan Veterinar Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bagi mencapai sasaran kadar saradiri itu tambah beliau, usaha digiat dengan meningkatkan populasi asas ruminan dari 17,000 kepada 50,000 ekor bagi lembu.

Manakala 16,000 ekor bagi kambing Dan beberi kepada 100,000 ekor.

Katanya, kerajaan juga akan menswastaan stesen – stesen ternakan yang dijangka dapat memacu kadar saradiri sektor ruminan diterajui oleh sektor swasta yang berpengalaman.

“Tiga stesen ternakan tersebut ialah Stesen Temudok di Sri Aman bagi tujuan pembiakan kambing dan bebiri.

“Kedua, Stesen Karabungan di Miri bagi tujuan pembiakan lembu dan ketiga ialah Stesen Kerbau Maragang di Lawas bagi pembiakan kerbau serta pembuatan keju mozzarella,” ujar Abdul Rahman.

Beliau turut memaklumkan bahawa nilai industri ternakan Sarawak pada tahun 2021 adalah sebanyak RM1.8 billion.

Jelas beliau, nilai ini dijangkakan meningkat kepada RM4 billion menjelang tahun 2030.

“Ini disumbangkan oleh beberapa sektor ternakan seperti ayam pedaging, ayam penelur dan khinzir yang telah mencapai kadar saradiri lebih 100 peratus,” katanya.

Pada majlis itu JVS diwakili Pengarahnya Dr. Adrian Susin Ambud, manakala UPM diwakili Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Prof Dr Abdul Rahman Omar. — DayakDaily