Sarawak komited hasilkan guru pakar kategori OKU

Abang Johari (tiga kanan) memikul gong sebagai simbolik Perasmian Seminar Kesedaran Austisme Peringkat Negeri Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Okt: Sarawak menerusi Universiti Teknologi Swinburne bakal mengeluarkan guru pakar bagi melatih anak-anak dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU)

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan telah disalurkan kepada Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bagi menyediakan latihan tersebut.


“Peruntukan ini adalah khusus bagi latihan guru di Kampus Sarawak.

“Dan jika guru tersebut ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat master degree bagi bidang khas seperti autisme, kita akan hantar ke Kampus Utama di Melbourne, Australia,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Perasmian Seminar Kesedaran Austisme Peringkat Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Tambah beliau, ia adalah pendekatan intervensi dimana dengan adanya guru pakar, pengajaran kepada anak-anak kategori akan lebih berkesan.

Jelas beliau, ia bukan untuk menidakkan keupayaan guru biasa sedia ada tetapi adalah berdasarkan masalah yang dihadapi oleh anak-anak.

“Saya difahamkan di Singapura, apa yang mereka lakukan khasnya anak yang menghadapi autisme, mereka ada guru pakar yang membantu masalah seperti ini.

“Kerana kadang-kadang mereka yang mempunyai penyakit ini, keadaannya berlainan dari pelajar normal, ” ujar Abang Johari.

Terdahulu, Menteri Pembnagunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri dalam ucapan aluan berkata, sehingga September 2023 seramai 258,476 orang telah berdaftar di bawah Kategori Kurang Upaya Pembelajaran.

Daripada jumlah ini seramai 50,811 orang dikategori di bawah sub kategori autisme.

“Bagi negeri Sarawak seramai 3,885 orang autisme direkodkan,” kata Nancy. — DayakDaily