Sarawak kaji sistem diguna pakai Madrasah Aljunied di Singapura

Abang Johari (tiga kiri) mencangkul campuran pasir sebagai simbolik pelancaran projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu dan menaiktaraf bangunan akademik SK Merpati Jepang di Kuching.

KUCHING, 30 Okt: Sarawak akan mengkaji sistem pendidikan agama yang digunakanĀ  Madrasah Aljunied di Singapura untuk diterapkan dalam sistem sekolah agama kendalian Majlis Islam Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Sarawak untuk berunding dengan madrasah terbabit dalam masa terdekat.

Ia bagi membolehkan Sarawak mewujudkan satu sekolah antarabangsa yang memberikan fokus kepada pendidikan Islam dan pendidikan sekular.


ā€œMadrasah Aljunied Singapura ini mempunyai dua silibus iaitu yang pertama silibus berkaitan agama Islam dan satu lagi silibus berkaitan pendidikan moden bertaraf antarabangsa.

ā€œJadi apabila sistem ini dapat dilakukan kelak, kita bukan sahaja dapat melahirkan golongan muda yang bukan sahaja mempunyai kefahaman yang tinggi dalam bidang agama tetapi juga bidang-bidang lain termasuk sains dan teknologi,ā€ katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu dan menaiktarafĀ  bangunan akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Abang Johari berkata, Sarawak menyediakan dana berjumlah RM12 juta untuk tempoh tiga tahun bagi membina 1,265 buah makmal komputer di sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini.

Katanya inisiatif tersebut melibatkan cadangan untuk membekalkan dan melengkapi semua sekolah di Sarawak dengan peralatan asas komputer.

ā€œPerancangan ini adalah bagi meningkatkan kemahiran digital dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk memenuhi keperluan agenda ekonomi digital negeri.

ā€œIni sekali gus bagi menggalakkan penguasaan kemahiran digital di kalangan generasi muda terutamanya murid-murid di sekolah rendah,ā€ katanya.

Jelasnya pendedahan awal murid-murid kepada ICT dan teknologi digital berupaya membina pemikiran kritikal, meningkatkan kreativiti, meneroka pelbagai bidang, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam situasi, di samping meningkatkan minat dan perhatian mereka.

Pada masa sama penguasaan kemahiran digital dan ICT pada tahap awal juga dapat meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran harian pelajar atau murid terlibat.

ā€œDengan adanya inisiatif ini, maka teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai elemen merentas kurikulum dapat diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah demi melahirkan insan yang kompeten dan berkemahiran digital seperti yang dihasratkan kerajaan untuk memenuhi keperluan agenda pembangunan ekonomi digital di negeri ini,ā€ kataya. ā€” DayakDaily