Sarawak fokus kepada melestarikan alam sekitar, kurangkan kesan perubahan iklim

Dr Hazland Abang Hipni. Foto: Ukas

KUCHING, 12 Okt: Sarawak akan menghantar peserta ke Sidang Kemuncak Penggubal Undang-undang COP27 Globe yang akan berlangsung di Mesir November ini, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Hazland berkata, Sarawak akan terlibat bersama negara-negara lain berhubung isu perubahan iklim.

Jelas beliau, daripada 198 buah negara ahli dalam COP27 yang akur kepada Perjanjian Paris, hanya 119 buah negara sahaja yang mempunyai pelan dalam mengurangkan karbon sehingga tahun 2050.


“Untuk Sarawak, kita akan menjalankan pemasaran industri hidrogen. Ini kerana hidrogen kita jenis premium di mana kuasanya dikeluarkan daripada hidro.

“Ia adalah (kuasa) hidro yang mempunyai kualiti yang paling tinggi dibandingkan dengan hidrogen yang dikeluarkan negara-negara lain yang tidak menggunakan kuasa hidro seperti arang batu, nuklear dan sebagainya.

“Ini adalah kekuatan untuk Sarawak,” katanya semasa ditemui di Majlis Memperingati Hari Tenaga Hidro Global di Empangan Hidroelektrik Bakun pada Selasa (11 Okt).

Bertemakan “Kita Boleh Dengan Tenaga Hidro”, acara itu bertujuan untuk mempamerkan faedah kuasa hidro.

Mengulas mengenai Hari Tenaga Hidro yang disambut buat julung kalinya diadakan serentak di seluruh dunia pada tahun ini, Dr Hazland menjelaskan fokus utama kerajaan Sarawak adalah berkenaan perubahan iklim.

Katanya, hanya dengan melestarikan alam sekitar akan dapat mengurangkan kesan perubahan iklim di seluruh dunia.

“Cara untuk melestarikan alam sekitar ada pelbagai cara iaitu melalui kitaran semula, ekonomi sekular dan tenaga yang boleh diperbaharui iaitu kuasa hidro.

“Kita mempunyai sungai yang besar, hujan yang banyak dan mempunyai teknologi di mana kita sekarang disegani negara-negara di rantau ini. Itu adalah kekuatan Sarawak,” jelasnya. — DayakDaily