KUCHING, 24 Julai: Sarawak diyakini mencapai status negeri maju menjelang 2030 menerusi Pelan Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030).
Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sarawak Senator Jaziri Alkaf A. Suffian berkata, ia berdasarkan kepada kesungguhan dan kewibawaan kerajaan negeri untuk kekal fokus kepada usaha memperkasa dan berkhidmat untuk rakyat ketika pandemik Covid-19.
“Antara keutamaan untuk menjayakan usaha ini adalah dengan menggandakan pertumbuhan ekonomi Sarawak dari RM136 bilion pada tahun 2019 kepada RM282 bilion pada tahun 2030.
“Untuk itu ekonomi Sarawak perlu berkembang pada kadar enam peratus hingga lapan peratus setahun.
“Memperkasa enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial adalah antara strategi yang dilihat mampu memacu PCDS 2030,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Jaziri, fokus kerajaan negeri untuk membangunkan pemboleh ubah seperti infrastruktur asas sekali gus membantu mencapai ke tahap kedua pengembangan PCDS 2030 yang didorong oleh bakat, kemahiran dan inovasi.
Katanya, ini meliputi infrastruktur jalan dan jambatan, bekalan air dan elektrik terawat dan rangkaian telekomunikasi.
PCDS 2030 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis katanya adalah inklusif dengan rakyat Sarawak akan mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam pembangunan keseluruhan negeri.
“Ini adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak supaya semua dapat sama-sama menikmati pembangunan dan pengagihan kekayaan dan ekonomi secara setara tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan,” ujar beliau. — DayakDaily