Kerajaan tempah 79.9 juta dos vaksin setakat ini – PM

File photo depicting a dose of a Covid-19 vaccine being prepared. Photo source: Flickr, Creative Commons License

KUCHING, 26 Julai: Setakat ini, Kerajaan telah menempah sebanyak 79.9 juta dos vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 25.2 juta dos telah diterima.

“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada bulan Ogos.


“Sebanyak 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku ke empat 2021 dan baki selebihnya akan diterima pada suku pertama 2022,” katanya pada penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sidang Khas Parlimen hari ini.

Tambah Muhyiddin, Kerajaan akan memastikan proses vaksinasi dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara.

Beliau juga berharap penularan Covid-19 ini tidak berterusan menjadi pandemik dan dapat beransur menjadi endemik.

Iaitu keadaan di mana virus ini mungkin terus wujud, namun wabak ini boleh dikawal melalui adaptasi norma baharu, sistem kesihatan awam yang berkesan dan amalan kesihatan serta pematuhan SOP yang ketat.

“Hakikatnya, satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut ini ialah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan cepat,” ujar Muhyiddin.

Dalam pada itu, beliau berkata perancangan asal, dijangkakan 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

Untuk itu jelas beliau, program PICK akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dapat dicapai lebih awal, iaitu pada bulan Oktober tahun ini.

“Setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin.

“Kadar vaksinasi harian juga telah melebihi 500 ribu dos sehari,” katanya. — DayakDaily