Nanta: Kerajaan tidak kurangkan kuota minyak masak bersubsidi

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 13 April: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.

Katanya, ia dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021 walaupun harga RBD Palm Olien telah meningkat sebanyak 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun 2021 berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun 2020.

“Ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah.


“Kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, sekiranya harga RBD Palm Olien menunjukkan trend peningkatan, kerajaan menjangka kos akan terus meningkat bagi skim ini iaitu daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion.

Oleh yang demikian katanya, keputusan untuk mengekalkan kuota dalam program skim penstabilan minyak masak (COSS) menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, KPDNHEP kata Nanta, mengambil maklum akan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Sarawak sebagaimana dilaporkan di laman sesawang sebuah akhbar tempatan bertarikh 12 April 2021.

Ujar beliau, laporan tersebut telah menyatakan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti yang telah ditetapkan bagi edaran ke pasaraya dan kedai runcit.

“Laporan tersebut juga mencadangkan supaya KPDNHEP mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti pembungkusan minyak masak bersubsidi.

“Dan seterusnya memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM400 juta pada tahun 2021 dibelanjakan dengan berhemah,” katanya lagi.

Jelas Nanta lagi, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pengauditan secara komprehesif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya.

Berdasarkan rekod, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi dibawah COSS di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan.

“Semakan rekod juga mendapati bahawa aduan berkaitan minyak masak di Sarawak pada tahun 2020 sehingga 31 Mac 2021 ialah sebanyak 25 aduan.

“Selain daripada itu, sejumlah 4,221 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga 12 April 2021 dan telah menghasilkan sejumlah lapan kes sepanjang tahun 2021 ini,” kata Nanta. — DayakDaily