Sarawak catat purata 3 kematian sehari akibat Covid-19 pada Mei

Covid-19

KUCHING, 25 Mei: Sarawak merekodkan purata 3 kematian sehari akibat Covid-19 pada bulan Mei 2021(sehingga 24 Mei) iaitu sebanyak 74 kematian, kata Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Rosemawati Ariffin.

Menurut beliau, peningkatan kes kematian itu bermula pada bulan Mac 2021 dengan 29 kematian iaitu bersamaan purata 1 kematian sehari.

Katanya, pada bulan April 2021 sebanyak 69 kes kematian direkodkan iaitu bersamaan purata 2 kematian sehari.


“Pada hari ini, sebanyak 83 kes Covid 19 masih dalam keadaan kritikal di wad ICU termasuk 32 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kapasiti katil ICU di Sarawak sekarang berada di paras kritikal,’katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Rosemawati, kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan kes dengan melebihi 300 kes setiap Hari sejak 11 April 2021 dengan purata
528 kes.

Ujar beliau, sehingga 24 Mei 2021, sebanyak 530 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 di Sarawak berjumlah 42,813 kes.

Peningkatan kes harian Covid-19 yang ketara telah dikesan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana sejak dari 9 Mei 2021 sehingga 15 Mei 2021 sejumlah 3,272 kes telah dilaporkan.

“Jumlah kes telah meningkat sebanyak 3,642 kes di mana purata kes 596 kes sehari pada minggu berikutnya iaitu dari 16 Mei 2021 sehingga 22 Mei 2021.

“Kebanyakan kes positif yang telah dikesan dalam tempoh seminggu ini merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Antara kluster yang terlibat adalah Kluster Taman Sourabaya Indah Dan Kluster Jalan Jambatan Gantung di Daerah Kuching,” ujar Dr Rosemawati.

Sementara itu katanya lagi, Daerah Kabong juga melaporkan peningkatan kes Covid-19 melalui jangkitan dalam kalangan saudara-mara yang berkunjung semasa Hari Raya, justeru mengubah status daerah ini kepada zon kuning.

Tambah beliau, penilaian risiko jangkitan yang dijalankan oleh JKNS mendapati pergerakan individu merentas negeri serta daerah Dan penganjuran majlis perayaan telah meningkatan risiko penularan Covid-19.

Justeru, Dr Rosemawati menyeru masyarakat Sarawak agar terus kekal berada di rumah sahaja sekiranya tiada urusan penting serta dilarang daripada merentas daerah untuk balik kampung bersempena cuti sambutan Hari Gawai Dayak ini. — DayakDaily