1,810 kes baharu, enam lagi kematian dilaporkan seluruh negara hari ini

status Covid-19 terbaharu (11 Dis)

Oleh: Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 11 Dis: Sebanyak 1,810 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes di seluruh negara kini melepasi 80,309 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 11 kes daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan pada hari ini dikesan mendapat jangkitan di luar negara.


Jumlah itu menjadikan kumulatif kes yang mendapat jangkitan di luar negara sehingga kini bertambah kepada 12,734 kes.

“Negeri Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes (45.8 peratus) di mana 685 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 532 kes (29.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 132 kes (7.3 peratus).

“Sebanyak 184 kes (10.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Rumah Merah (150 kes), Kluster Tembok (18 kes), Kluster Bakti (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (3 kes),” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata enam kematian turut dilaporkan hari ini dengan semua kes berkenaan di kesan di beberapa daerah di Sabah dan satu di Pulau Pinang.

Pertambahan enam lagi kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 402 kes atau 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan.

“Bagi kes kematian ke-397 membabitkan seorang warga emas lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan kekurangan adrenal (adrenal insufficiency) dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen of Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Kes ke-398 pula, warga emas lelaki berusia 65 tahun yang mempunyai penyakit gout juga meninggal dunia di Hospital Queen of Elizabeth, manakala kes ke-399 juga warga emas lelaki berusia 61 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau dan mempunyai penyakit darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang kronik dan dislipidemia.

“Untuk Kes ke-400 pula membabitkan wanita berusia 60 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, penyakit jantung, gout dan Spondylodiscitis dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen of Elizabeth,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes ke-401, ia membabitkan wanita berusia 78 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, dan strok dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang sementara kes ke-402 membabitkan seorang wanita berusia 63 tahun yang mengidap penyakit asma.

“Bagi Kes ke -402 ini, wanita tersebut meninggal dunia sebelum jenazahnya di bawa ke hospital Duchess of Kent, Sandakan.

“Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, terdapat 937 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya di negara ini sebanyak 67,173 kes atau bersamaan 83.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Sehingga kini juga, seramai 123 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 63 kes daripadanya masih memerlukan bantuan alat penafasan,” jelas Dr Noor Hisham. — DayakDaily