Covid-19: 1,280 kes baharu dan 9 kematian di seluruh negara

Status terkini Covid-19, 9 Mac 2021 (KKM)

KUCHING, 9 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,280 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan 1,278 kes tempatan dan 2 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 316,269 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 18,704 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 464 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 165 kes dan Sarawak sebanyak 163 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,345 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 296,379 kes atau 93.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 155 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 76 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 9 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,186 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 4 kes di Selangor dan masing-masing 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah, dan Sarawak.

“Sebanyak 8 kes melibatkan warganegara dan 1 kes melibatkan bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 9 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 6 kluster berkaitan tempat kerja, 2 kluster berkaitan komuniti dan 1 kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi. – DayakDaily