Sarawak bida jadi tuan rumah Kejuaraan Tinju WBC Asia Mei ini

Rahman (tengah) bersama Kilat Boy (dua dari kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Foto: Ukas

KUCHING, 20 Feb: Sarawak akan membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa berprestij, Kejuaraan Tinju Dunia (WBC) Asia, kata Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (Saba) Dato Rahman Lariwoo.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), usul akan dihantar kepada pihak WBC dalam masa terdekat dan menjangkakan keputusannya diketahui selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.

Jika dipersetujui, perlawanan kejuaraan WBC itu akan dilangsungkan di Stadium Tertutup Petra Jaya pada 18 Mei depan.


“Setelah berbincang dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim, beliau bersetuju dan berbangga dengan inisiatif kita membawa kejuaraan ini ke Sarawak.

“Saya yakin kita dapat menjadi tuan rumah kejuaraan ini berdasarkan kejayaan kita menganjurkan dua edisi Terbuka Sarawak sebelum ini.

“Jika Sarawak diterima menjadi tuan rumah, kita bakal mencatat satu lagi sejarah dalam arena tinju,” katanya ketika ditemui media pada Isnin (19 Feb).

Terdahulu Rahman menyambut kepulangan jaguh tinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Beliau menjangkakan penyertaan barisan petinju ternama dari 10 negara bersaing bagi merebut kejuaraan berprestij itu nanti.

Mengulas mengenai Daeloniel atau Kilat Boy, Rahman berharap atlet itu dapat meneruskan momentumnya untuk mencapai satu lagi kejayaan besar dengan menjuarai perlawanan WBC dalam acara bantamweight nanti.

Untuk rekod, Kilat Boy mengesahkan tempat dalam WBC Asia selepas beliau mencatat seri dalam pertarungan ‘Path To Glory’ menentang petinju dari Bangladesh, Resatul Mahmud Sajin di Kemal Ataturk Park, Banani, Dhaka pada 17 Februari lepas. — DayakDaily