Saberkas apolitik, penyertaan dibuka kepada semua belia Sarawak — Abdul Karim

Abdul Karim (empat dari kanan) bersama kakitangan agensi dibawah Kementerian Belia dan Sukan Sarawak membaca ikrar integriti di Sambutan Hari Integriti dan Bengkel Pelan Anti Rasuah Organisasi ( OACP ) Kementerian Belia dan Sukan Sarawak 2020.

KUCHING, 21 Sept: Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan pertubuhan itu adalah apolitik dan boleh disertai semua belia Sarawak tanpa mengira pandangan politik mereka.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata demikian semasa mendedahkan ada
pembangkang di negeri ini telah menghubunginya bertanyakan samada mereka juga boleh menyertai pertubuhan terbabit yang baharu diterajuinya.

“Saya memberitahu mereka Saberkas adalah ‘apolitical’, bererti di luar politik, di luar bangsa, di luar agama. Ia sepatutnya begitu kalau kita bertanggungjawab untuk membangunkan belia,” katanya ketika Sambutan Hari Integriti dan Bengkel Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Kementerian Belia dan Sukan Sarawak 2020 di sini, hari ini.


Abdul Karim berkata indoktrin politik sepatutnya tidak disemaikan dikalangan belia pada usia mereka tetapi disemaikan dahulu dengan rasa patrotisma terhadap negara dan negeri ini serta dari itu juga pertubuhan mula membangunkan mereka.

“Selepas pada satu tahap adalah terserah kepada belia (ahli Saberkas) untuk memilih parti politik bagi disokong mereka. Itu adalah bentuk amanahnya yang kalau kita lakukan sebaiknya saya percaya kita akan amat gembira di masa depan mewariskan kepimpinan negeri ini kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi Kementerian Belia dan Sukan Sarawak mengalakkan pemimpin belia dibawah bimbingan mereka juga menyertai Saberkas supaya dapat membangunkan mereka menjadi pemimpin berintegriti dan amanah serta menyemai semangat patriotisma.

Abdul Karim dilantik sebagai presiden Saberkas iaitu organisasi belia terbesar di negeri ini dengan lebih 44,500 ahli menggantikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang enggan dicalonkan semula sebagai presiden pada mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGM) ke-16 organisasi itu di Miri pada 19 Sept lepas.

Abang Johari pula telah menjadi presiden Saberkas sejak 2009 dan mengambil alih jawatan itu dari Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri pada masa itu. — DayakDaily