RUU Sumber Asli Dan Alam Sekitar 2024 perkukuh kuasa Sarawak kawal selia alam sekitar dan sisa

Nicholas Kudi Jantai (file pic)
Advertisement

KUCHING, 12 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli Dan Alam Sekitar 2024 memperkukuhkan lagi kuasa Sarawak untuk mengawal selia urusan alam sekitar dan sisa.

Adun Baleh Nicholas Kudi Jantai berkata, ia melibatkan peralihan kuasa kawal selia dari Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Sarawak berkuatkuasa pada 1 Jan 2025.

“Ia adalah berkenaan dengan pengagihan kuasa kawal selia di dalam pengurusan alam sekitar dan sisa dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB),” katanya dalam perbahasan RUU tersebut di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Advertisement

Terdahulu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan telah membentangkan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.

Menerusi RUU tersebut jelas Nicholas, urusan pelupusan sisa seperti sisa logam contohnya bateri dan sisa elektronik alat penghawa dingin akan diserahkan kepada pihak berkuasa Sarawak.

Katanya lagi, pengagihan kuasa kawal selia ini juga turut melibatkan pelesenan aktiviti yang ditetapkan iaitu di luar premis dan kenderaan.

Ia juga melibatkan pelepasan minyak ke perairan, pencemaran atmosfera, pencemaran bunyi, pencemaran tanah dan pencemaran air.

“NREB juga telah diamanahkan dengan fungsi terbaharu, khususnya mengenai perkara yang berkaitan dengan penangkapan dan penyimpanan karbon, kawalan pelepasan gas rumah hijau dan inisiatif hijau yang lain.

“Ini merupakan satu fungsi baru yang sangat penting dan pengawalan kuasa selia yang efektif amatlah diperlukan bagi mendapatkan penghasilan yang optimum,” kata Nicholas. ā€” DayakDaily

Advertisement