RUU Pindaan Perlembagaan Sarawak 2020 perkukuh autonomi Sarawak — ADUN Jemoreng

Datuk Dr Juanda Jaya

KUCHING,12 Nov: Pindaan terhadap Artikel 16 Perlembagaan Sarawak akan dapat menghalang individu yang bukan kelahiran Sarawak daripada bertanding dalam pilihan raya seterusnya menjadi wakil rakyat yang secara tidak langsung menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata ramai rakyat Sarawak tidak menyedari bahawa Artikel 16 Perlembagaan Sarawak memberikan hak yang luas dan kepada rakyat bukan kelahiran Sarawak untuk bertanding dan menjadi wakil rakyat di negeri itu.

“Tafsiran yang dicadangkan ini menetapkan hanya anak Sarawak yang layak menjadi ADUN dalam dewan yang mulia ini dan orang selain Sarawak terhalang untuk bertanding dalam pilihan raya negeri. Inilah hasrat dan niat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang amat jelas,” katanya dalam ucapan perbahasan Pindaan Perlembagaan Sarawak 2020 di sini hari ini.


Beliau berkata, GPS sentiasa mengutamakan hak-hak Sarawak terjaga dalam gagasan Malaysia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat di negeri itu.

Katanya, sebagai sebuah Parti Sarawak, GPS tidak akan mengkhianati atau menjual maruah negeri selaras dengan slogan parti itu yang mengutamakan Sarawak.

“Disamping kita mahu calon pilihan raya adalah anak Sarawak, kita juga perlu pastikan yang kita gunakan adalah parti Sarawak iaitu parti yang residen di Sarawak bukannya residen di Malaya atau negeri lain.

“GPS memperjuangkan autonomi Sarawak dan berusaha seboleh mungkin untuk menghalang orang luar daripada mendapat keistimewaan yang eksklusif untuk orang Sarawak,” katanya.

Juanda berkata, sikap yang ditunjukkan oleh ADUN Pending, Violet Yong dan ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen berniat jahat dan cuba untuk mengelirukan rakyat berkenaan Pindaan Artikel 16 Perlembagaan Sarawak.

Katanya, ADUN terbabit mengatakan mahu tafsiran residen itu diketatkan terhad kepada rakyat Sarawak namun pada pilihan raya negeri ke-11 lalu telah meletakkan calon yang bukan sepenuhnya rakyat asal Sarawak.

“Menurut akhbar dalam talian dayakdaily.com pada 10 November lalu bahawa seorang peguam yang dikaitkan dengan parti DAP telah membela permohonan peguam dari Sabah yang mahu mengamalkan undang-undang di Sarawak.

“Jadi inilah contoh hipokrasi yang jelas daripada mereka. Pura-pura ajak kebaikan tapi mereka sendiri tak buat,” katanya.

Juanda menegaskan Rang Undang-undang Pindaan Pelembagaan Sarawak itu adalah selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang meletakkan hak eksklusif kepada rakyat Sarawak berkaitan pelbagai urusan di negeri itu.

“Pindaan ini pasti mengukuhkan lagi autonomi Sarawak dan pemperkukuhkan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. — DayakDaily