RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 lantik aggregator gas — Chukpai

Siaran langsung di bilik media DUN menunjukkan Chukpai pada perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 pada 21 Nov 2023.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon yakin Rang Undang-undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 adalah pindaan ke arah penambahbaikan kepada ordinan sedia ada iaitu ‘Distribution of Gas Ordinance 2016’.

Menurut Chukpai, pindaan adalah sangat penting bagi Sarawak untuk melantik agregator gas.


“Pindaan juga menambah baik peruntukan mengenai penguatkuasaan, kesalahan dan kuasa untuk membuat peraturan bagi memastikan tiada kekangan dari segi perlaksanaan dan urus tadbir seliaan dan bekalan berkaitan pengagihan gas di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 yang dibentangkan Menteri Utiliti Dan Telekom Dato Sri Julaihi Narawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selaku pemilik sah kepada sumber alam Negeri, tambah Chukpai, Sarawak memerlukan jaminan bahawa tidak akan wujud tuntutan bertindih daripada pihak ketiga ke atas hasil sumber asli gas di Sarawak seperti yang termaktub dalam Sarawak Oil Mining Ordinance (OMO) 1958.

Katanya, Kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) daripada penghasilan minyak dan gas adalah menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan Sarawak.

“Bagi meneruskan kelangsungan perolehan yang tinggi untuk Sarawak, Petros (Petroleum Sarawak Berhad) juga akan melabur RM2 billion untuk membangunkan loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan Miri.

“Kemudiannya akan membekalkan tenaga kepada bandar raya dengan gas asli yang harganya berpatutan, boleh dipercayai dan lebih bersih,” kata Chukpai. — DayakDaily