RUU Elektrik (Pindaan) 2023 peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui yang bersih

Siaran langsung di bilik media DUN menunjukkan Mohamad semasa perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini (21 Nov 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023 selaras dengan usaha kerajaan Sarawak dalam memperkasa lagi penggunaan tenaga hijau di Negeri ini dalam usaha pengurangan peningkatan suhu.

Menurut ADUN Kalaka Mohamad Duri, ia memperuntukkan pindaan kepada Ordinan Elektrik (Bab 50) dan tujuan am pindaan adalah untuk memudahkan dan memajukan dasar-dasar kerajaan Sarawak mengenai peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui yang bersih.


“Selain itu ia membolehkan para pelabur mengambil bahagian dalam pengeluaran atau penjanaan melalui pemasangan sistem tenaga solar dan kuasa hidro lata di sungai kita.

“Dan untuk Sarawak Energy Berhad (SEB), mereka boleh mendapatkan daripada sumber tenaga baharu ini untuk pengedaran dan pembekalan elektrik kepada pengguna melalui sistem grid penghantaran yang dimiliki SEB,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Cadangan pindaan telah dibentangkan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Tambah Mohamad, pindaan ini sekaligus akan mewujudkan industri elektrik yang mantap dan dikawal selia dengan baik untuk menyokong pembangunan mampan Sarawak untuk menjadi kuasa serantau Asean.

Katanya, ia akan memberi peluang kepada rakyat dan pelabur untuk mengambil bahagian dalam penjanaan kuasa, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan Sarawak dengan sumber pendapatan tambahan.

Ujarnya lagi, pindaan itu merangkumi untuk menginstitusikan Pembeli Tunggal dengan SEB, sebagai sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, sebagai Pembeli Tunggal untuk industri elektrik di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak yakin SEB akan dapat menunaikan kewajipan statutorinya yang dikenakan dimana SEB berada dalam kedudukan yang sangat kukuh untuk menjadi Pembeli Tunggal.

“SEB memiliki sistem grid penghantaran dan pengedaran dan merupakan Operator Kod Grid Negeri dan semua kuasa yang dijana perlu menggunakan sistem grid penghantaran dan pengedaran untuk penghantaran kuasa,” kata Mohamad. — DayakDaily