‘Runner’ dadah diberkas bersama syabu bernilai RM5,200 di Kampung Menjelin, Bekenu

Dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM5,200 (52g) dirampas semasa serbuan itu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 April: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai ‘runner dadah’ ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Menjelin, Bekenu pada malam Khamis (14 April).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia 31 tahun berbangsa Bugis, itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri kira-kira jam 9.30 malam.


Semasa serbuan di dalam rumah tersebut suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh pasukan serbuan kemudian terjun daripada tingkat satu rumah tersebut.

Kekerasan minima telah digunakan dalam melaksanakan tangkapan, ujarnya.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemukan 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 52gram bernilai RM5,200.

Katanya, suspek yang tidak bekerja itu telah menjadikan kegiatan pengedaran dadah secara ‘tunai’ dalam bentuk tiub straw berharga RM20 hingga RM50 setiub sejak pertengahan tahun 2021.

Difahamkan susoek mendapatkan upah RM100 hingga RM200 sehari dari hasil kegiatan pengedarannya itu.

Hasil saringan awal,polis mendapati urin suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek ditahan di lokap Balai Polis Trafik Miri untuk siasatan selanjutnya.

Suspek ditahan selama 14 hari bermula hari ini.

Kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 39B , Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily