Rundi: Sebanyak 166 projek bekalan air siap

Rundi (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan pelaksanaan Projek Bekalan Air di Sibu Laut.

Telaga Air, 6 Nov: Kerajaan menerusi Kementerian Utiliti telah menyiapkan 166 projek bekalan air sejak tahun 2018 bagi menyelesaikan masalah tiada bekalan air di kawasan terjejas.

Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, ia bersamaan 65 peratus daripada jumlah keseluruhan 322 projek yang dirancang.

Katanya, kesemua projek ini sepatutnya siap dalam tempoh 2 tahun, namun tergendala akibat pandemik Covid-19.


“Maka, projek-projek ini ada sedikit lewat dan kita teruskan sehingga tahun depan.

“Kita terpaksa mengambil masa kerana ia adalah projek yang besar, dilaksanakan kerana keperluan mendesak,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Projek Bekalan Air di Kampung Sibu Laut di sini, hari ini.

Tambah Rundi, Kementerian Utiliti komited untuk memastikan rakyat sentiasa menikmati kemudahan asas seperti bekalan air.

Justeru katanya, langkah-langkah pencegahan bagi mengelak terputus bekalan dan kerja-kerja menaiktaraf diutamakan.

Katanya, adalah penting bagi Kementerian menjaga sumber air sedia ada seperti di Empangan Bengoh dan Batang Ai.

“Selain itu, terdapat 103 loji air akan dinaiktaraf dan kita juga membina banyak tangki aras tinggi serta pam penggalak,” kata Rundi.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukan RM4 bilion untuk melaksanakan projek-projek bekalan air di seluruh negeri.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Hasbi Habibollah dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. — DayakDaily