Rubiah: Jambatan Batang Samarahan akan dibuka selepas pengesahan terakhir dari JKR

Rubiah (tengah) memakaikan topi keledar baru kepada penunggang motosikal ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Gawai dan Hari Raya Bahagian Samarahan 2018 di Petronas Samarahan Expressway.

KOTA SAMARAHAN, Mei 25: Jambatan Batang Samarahan bernilai RM93 juta dan sepanjang 774 meter yang sudah siap dibina dijangka akan dibuka bagi digunakan orang ramai samada Mei 28 depan atau pada Hari Gawai Dayak pada Jun 1 depan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang mengesahkan jambatan terbabit yang melintasi Batang Samarahan dan menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Tambey di seberang sungai tidak dapat dibuka hari ini mengikut tarikh asal pembukaannya yang dicadangkan sebelum ini.

“Tarikh (pembukaan Jambatan Batang Samarahan) yang dicadangkan sebelum ini ialah Mei 25, hari ini, tetapi selepas penyeliaan peringkat akhir ini, tarikh kedua yang dicadangkan ialah pada Mei 28 depan, namun ini juga belum dapat disahkan,” katanya ketika menyertai Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Gawai dan Hari Raya Bahagian Samarahan 2018 di Petronas Samarahan Expressway, di sini, hari ini.


Acara terbabit yang dianjurkan Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Sarawak dan Petronas Samarahan Expressway menagihkan sebanyak 300 bungkusan bubur lambuk dan makanan ringan serta 24 topi keledar kepada penguna jalan raya.

Rubiah berkata, sebelum dibuka kepada orang ramai, jambatan terbabit yang mula dibina pada Januari 2015 perlu mendapat pengesahan terakhir dari pihak audit Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa strukturnya yang baru siap dibina adalah cukup selamat bagi digunakan orang ramai.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan jambatan terbabit kemungkinan akan dibuka pada Hari Gawai Dayak (Jun 1 depan) bagi mula dilalui orang ramai, tetapi perasmian pembukaanya secara rasmi belum lagi,” katanya.

Rubiah berkata berikutan tiada dapat disahkan tarikh pembukaan jambatan terbabit, beliau meminta orang ramai terutama yang mahu mengunakannya bagi pulang ke kampung dan rumah panjang bagi menyambut perayaan Gawai Dayak supaya menunggu pengumuman pembukaannya dari JKR.

“Kalau sudah ada tarikh pembukaan jambatan yang disahkan dari JKR, mereka akan membuat pengumuman dan kenyataan mengenai perkara itu bagi disebarkan kepada orang ramai,” katanya yang juga sedang menunggu pengumuman terbabit kerana akan menjadi berita gembira kepada penduduk bahagian Samarahan yang selama ini menyeberang sungai Batang Samarahan mengunakan feri bagi memendekkan perjalanan antara Asajaya dan Kota Samarahan.

Sementara itu di majlis terbabit, mengikut statistik polis, keseluruhannya sebanyak 724 kes kemalangan jalan raya di bahagian Samarahan pada 2017 iaitu di Kota Samarahan sebanyak 532 kes, Asajaya (133 kes) dan Simunjan (59 kes).

Ini menurun berbanding 2016 yang mencatatkan keseluruhannya sebanyak 752 kes dengan Kota Samarahan sebanyak 619 kes, Asajaya (62 kes) dan Simunjan (71 kes). — DayakDaily