KUCHING, 6 Ogos: Sebanyak 1,690 karton rokok dianggarkan bernilai RM252,432 dirampas kerana disyaki tiada cukai Kastam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata rampasan dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Setia Raja pada jam 9.10 pagi.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun turut ditangkap dalam operasi tersebut untuk membantu siasatan.
“Sebanyak 32 kotak yang mengandungi 1,690 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan RM252,432,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 dan tidak lebih 20 kali ganda barangan atau RM500,000.
“Pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali (denda dan penjara),” katanya. — DayakDaily