Rohani: Peruntukan besar diperlukan Sarawak bagi tingkatkan infrastruktur luar bandar

Dato Sri Rohani Abdul Karim

KUCHING, 11 Nov: Sarawak memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk meningkatkan lagi infrastruktur asas terutamanya di luar bandar.

Menurut MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim, ia untuk membiayai projek pembangunan yang telah dikenal pasti seperti kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan dan ubah suai sekolah-sekolah.

Beliau menghargai keprihatinan kerajaan persekutuan kerana Sarawak buat kali pertamanya menerima peruntukan terbesar walaupun hanya dengan peningkatan RM158 juta pada Bajet 2022.


“Sarawak memerlukan peruntukan selari dengan fokusnya untuk mempercepat dan mengurangkan jurang pembangunan lebih-lebih lagi mengambil faktor keluasan geografinya.

“Kerajaan telah memberikan komitmen untuk menaik taraf sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta dan daripada jumlah 330 projek sebanyak 165 projek adalah di Sarawak,” kata pada perbahasan di Parlimen hari ini.

Tambah Rohani, ia melibatkan sekolah yang benar-benar memerlukan seperti SK Pulau Seduku dan SK Tebelu Simunjan dengan projek pembangunan bangunan secara IBS.

Beliau menegaskan bahawa projek menaik taraf sekolah perlu dilihat daripada skop yang lebih luas bukan sekadar infrastruktur.

Malah, katanya, ia juga melibatkan keperluan peranti, akses terhadap pembelajaran, tenaga pengajar dan perlu bersesuaian dengan keadaan dan keperluan setempat.

Rohani turut mengalu-alukan penempatan semula Giatmara Batang Lupar dengan peruntukan RM10.56 juta bagi membolehkan para belia mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal.

“Saya melihat betapa pentingnya pengwujudan institusi kemahiran seperti ini sebagai salah satu usaha untuk membangunkan golongan belia terutamanya pada era pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Pada perbahasan itu, Rohani juga menggesa supaya kerajaan mengambil perhatian serius terhadap isu capaian Internet dan komunikasi di kawasan luar bandar Sarawak.

Katanya, penggunaan aplikasi seperti Google Meet dan Zoom merupakan sesuatu yang lazim kini menerusi kaedah pembelajaran secara Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) atau mesyuarat serta seminar.

“Malah kempen pilihanraya juga menyarankan kaedah secara online sebagai platform utama.

“Memandangkan akses kepada Internet ini sudah menjadi keperluan asas dalam kehidupan, maka bagi saya adalah sangat penting untuk kerajaan meluaskan lagi capaian Internet sekurang-kurangnya 4G,” ujar beliau. — DayakDaily