RM7.5 juta kerugian direkodkan libatkan kes jenayah komersial

Business, jobs and trade. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Sept 23: Sejumlah 128 kes penipuan melibatkan jenayah komersial dilaporkan di Sarawak setakat sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes yang dilaporkan setakat Sept 21 lepas telah melibatkan kerugian mencecah RM7.5 juta.

Menurutnya, polis juga telah berjaya memberkas 24 individu yang terlibat dalam kes penipuan berkenaan.


“Daripada jumlah yang ditahan itu, 19 orang merupakan lelaki, manakala selebihnya wanita.

“Antara kes yang dilaporkan ialah mangsa penipuan didakwa terlibat dengan pelbagai kes jenayah seperti penyalahgunaan dadah, kes langgar lari, penggubahan wang haram serta kes-kes lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, siasatan juga mendapati suspek-suspek yang terlibat telah mendakwa sebagai pegawai penguatkuasa.

Ujarnya, terdapat suspek mengaku pegawai polis, kastam, bank sebagai modus operandi menipu mangsa mereka.

“Terdapat juga suspek mendakwa diri dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai taktik memperdayakan mangsa-mangsa mereka,” tegasnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat umum agar tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan panggilan daripada mana-mana pihak atau individu yang tidak dikenali.

“Antara lain, jangan membuat sebarang pertukaran nombor PIN atau memindahkan wang melalui mesin teler automatik (ATM) sekiranya menerima sebarang panggilan yang mencurigakan,” katanya. — DayakDaily