RM5.8 juta untuk membina 11 tabika KEMAS baru

Fatimah (kiri) menunjukkan Buku Panduan Asuhan Kanak-Kanak Di Rumah yang akan diterbitkan dalam bahasa Iban dan Mandarin ketika mempengerusikan mesyuarat tahunan MPAKS.

KUCHING, Jan 16: Keseluruhannya ada sebanyak 109 tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dalam keadaan daif di negeri ini dan kerajaan negeri bersetuju memperuntukan sebanyak RM5.8 juta bagi membina baharu sebanyak 11 tabika terbabit bagi tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang berkata demikian berharap sebanyak 98 tabika KEMAS terbabit yang lain dapat dibina baharu mengunakan peruntukan dari kerajaan pusat.

“Kami berikutan itu meminta KEMAS Sarawak supaya memohon peruntukan membina baharu tabika mereka yang daif itu dari kerajaan pusat kerana kerajaan negeri sudah bersetuju memberi peruntukan membina semula senbanyak 11 tabika terbabit dari keseluruhannya 109 tabika itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) di sini, hari ini.


Fatimah berkata 11 tabika KEMAS daif yang akan dibina baru tahun ini mengunakan peruntukan RM5.8 juta dari kerajaan negeri itu ialah Tabika Rumah Panjang (RH) Serit Kapit; Tabika RH Pillai Kapit; Tabika RH Tunjang Sungai Lelabi Sarikei; Tabika Selangan Sarikei; Tabika RH Jamba Kapit; Tabika Kampung Sagah Petra Jaya; Tabika Sungai Malikat Marudi; Tabika Manok Machal Kapit; Tabika Kampung Ampungan, Puncak Borneo; Tabika Kampung Banting Lawas dan Tabika Kampung Sungai Tapang Stampin.

Kos membina semula 11 tabika tersebut adalah antara dari RM471,654 sehingga RM1.197 juta bergantung kepada modal bangunan baharunya yang terbahagi kepada tiga dengan kerja pembinaan bangunan terbabit dijangka akan bermula dan disiapkan tahun ini.

Disamping itu, Fatimah mendedahkan pihaknya akan menterjemahkan Buku Panduan Asuhan Kanak-Kanak Di Rumah dalam bahasa Iban dan Mandarin tahun ini bagi memastikan kualiti asuhan kanak-kanak di negeri ini terjamin berikutan 80 peratus kanak-kanak terbabit diasuh samada ibu bapa, nenek atau pengasuh di rumah dan bukan instusi asuhan formal.

“Buku ini juga diberi kepada ibu yang baharu bersalin di hospital dan klinik di negeri ini kerana ada ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke taska kerana merasakan anak tersebut masih terlalu muda,” katanya, sambil menambah pihaknya juga akan menerbitkan buku itu khusus bagi ibu bapa yang ada anak berkeperluan khas.

Beliau juga mendedahkan tiga taska di negeri ini tahun lepas telah diiktiraf sebagai berkualiti iaitu Taska Cahaya Horizons, Taska Pondok Ilmu dan Taska Permata KEMAS Kampung Sri Tajo, Samarahan dan tahun ini, akan mencari tiga lagi taska bagi diberikan pengiktirafan tersebut. — DayakDaily