RM2 bilion untuk Program Grid Bekalan Air Sarawak

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom

KUCHING, Julai 17: Sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan projek di bawah Program Grid Bekalan Air Sarawak.

Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek yang dilakukan itu adalah melibatkan kawasan-kawasan yang mempunyai masalah bekalan air yang kritikal.

Menurutnya, sebanyak 222 projek seumpamanya telah dikenalpasti untuk pelaksanaan dalam tempoh sehingga penghujung tahun 2020.

“Kita yakin, projek-projek yang dijalankan bagi menangani masalah bekalan air kritikal ini dapat disiapkan sepenuhnya menjelang hujung 2020.

“Terdapat juga projek sama yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) supaya rakyat negeri ini tidak lagi berdepan dengan isu ketiadaan bekalan air,” katanya.

Dr Rundi menambah, terdapat sembilan kategori di bawah program berkenaan yang terdiri daripada wilayah selatan, wilayah tengah, wilayah utara selain Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Ujar beliau, pelaksanaan projek SAWAS amat penting untuk memacu Sarawak ke arah mencapai visi 100 peratus liputan bekalan air di seluruh negeri ini menjelang 2025.

Jelasnya, SAWAS merupakan sistem bekalan air strategik yang menyediakan air selamat kepada komuniti luar bandar.

“Ia adalah selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan sumber bekalan air mentah boleh diminum dan terjaga dari kualiti dan kuantiti airnya.

“Antara lain, terdapat keperluan untuk melaksanakan pengurusan permintaan air sekali gus dapat memenuhi had bekalan air secara mampan,” katanya lagi. — DayakDaily