RM17.4 juta untuk bakul makanan kawasan PKPD setakat ini – Fatimah

Fatimah (tiga dari kanan) menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 19 Julai: Setakat Julai tahun ini, Kerajaan telah membelanjakan lebih RM17.4 juta untuk tujuan pengagihan bakul makanan ke kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan seramai 197,997 ketua isi rumah (KIR) di 1,439 kawasan PKPD.


“Dari statistik setakat ini, bilangan kawasan atau kampung atau rumah panjang yang dikenakan PKPD adalah sebanyak 1,439 yang membabitkan 197,997 KIR.

“Ini melibatkan pengagihan sebanyak 200,842 bakul makanan dengan kos lebih RM17.4 juta,” katanya pada Program Pantri Komuniti di Pasaraya Farley Kota Samarahan hari ini.

Menurut Fatimah, pada tahun 2020 hanya satu kawasan iaitu Kampung Haji Baki di Kuching telah dikenakan PKPD yang melibatkan seramai 4,196 KIR.

Katanya, sebanyak RM209,800 telah dibelanjakan untuk pengagihan bakul makanan pada PKPD Kampung Haji Baki.

Berhubung Program Pantry Komuniti anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bersama pasaraya, Fatimah yakin ia membantu rakyat khususnya golongan terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP.

“Walaupun ada bantuan dari pihak kerajaan, kita tahu ada segelintir masyarakat yang tercicir.

“Sokongan dari pihak majlis perbandaran, badan bukan kerajaan dan pasaraya tentu sekali membantu kita memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir dalam situasi pandemik kini,” ujar Fatimah.

Program Pantry Komuniti anjuran MPKS kini memasuki Fasa 2 setelah Fasa 1 berjaya dilaksanakan dengan sokongan 14 pasaraya di sekitar Kota Samarahan sejak 4 Julai lepas.

Turut hadir Pengerusi MPKS Dato Peter Minos. — DayakDaily