Suspek samun tidak sempat merasa hasil jenayah, ditangkap kurang 48 jam kes dilaporkan

Suspek yang berjaya ditangkap.

KUCHING, 19 Julai: Seorang lelaki disyaki suspek samun wanita warga emas berjaya ditangkap kurang dari 48 jam kes tersebut dilaporkan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Tupong pada 16 Julai lalu iaitu sekitar jam 1.40 petang.

Jelasnya, semasa kejadian mangsa dikatakan bersama suaminya sedang menaiki motosikal apabila didatangi suspek yang menunggang motosikal lalu terus meragut beg tangannya.


Bertindak daripada laporan mangsa, sepasukan anggota dari BSJD IPD Kuching berjaya menjejaki dan membuat tangkapan ke atas suspek di sebuah rumah di Loring Menggris sekitar jam 10.30 malam semalam.

Hasil siasatan membawa kepada rampasan barang-barang kes seperti pakaian suspek, telefon bimbit, wang tunai, topi keledar dan motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk kes tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan reman bermula hari ini selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat. — DayakDaily