RM1.12 bilion bagi pembangunan infrastruktur — Abang Johari

Abang Johari berucap semasa persidangan DUN di Kuching hari ini (21 Nov 2022). Tangkap skrin dari 'live stream' Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Bajet 2023 memperuntukkan sejumlah RM1.12 bilion bagi tujuan pembangunan infrastruktur jalan, jambatan, pelabuhan dan infrastruktur sungai khususnya di luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara projek yang telah dikenalpasti ialah pembinaan jalan ‘inner ring’ Kuching.


“Projek lain ialah pembinaan jalan Sibu Jaya ke Kong Yit Khim di Sibu, Jalan Pakan ke Ulu Kota (Fasa 3) termasuk Projek Jambatan (Fasa 1) bagi menggantikan tujuh jambatan sementara kepada struktur kekal.

“Projek menaik taraf Jalan Oya Sibu, kerja penambahbaikan Jambatan Sungai Limbang, Sungai Bunut No. 2 dan jalan penyambung di Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Bajet 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Abang Johari, beberapa projek infrastruktur besar dengan kos berbilion ringgit dibiayai menggunakan ‘Alternative Funding Initiatives’.

Ia melibatkan Projek Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Lapangan Terbang Bukit Mabong dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

Menerusi Bajet 2023, tambah beliau, sejumlah RM26 juta diperuntukkan bagi projek penyediaan bekalan elektrik.

Katanya, dari jumlah tersebut sejumlah RM12 juta bagi tujuan mengganti bateri dan komponen sistem solar.

“RM8 juta bagi tujuan penyediaan bekalan elektrik ke sekolah-sekolah yang belum disambungkan ke grid elektrik, RM4 juta bagi ‘Additional Late Applicant Funds’ (ALAF) dan RM2 juta untuk Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES),” ujarnya.

Manakala bagi tujuan bekalan air bersih, sejumlah RM125 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 yang melibatkan pelaksanaan beberapa projek di Serian, Betong, Sibu, Loji Batu Kitang dan Kuching.

Selain itu, tambah Abang Johari, Program Bekalan Air Grid Sarawak yang dibiayai menerusi ‘Alternative Funding Initiative’ akan diteruskan dengan sejumlah RM900 juta diperuntukkan pada 2023.

Ia melibatkan pelaksanaan beberapa projek besar di Loji Pembersihan Air Matang, bekalan air ke Batang Sadong dan Simunjan, penambahbaikan Loji Bayong, Loji Kapit serta bekalan air ke Pulau Bruit, Kanowit dan Tinjar.